Komen Pilihan-Mari Berjuang Bersama BN!!!.

Berikut saya lampirkan komen daripada seorang pengunjung Belagakini yang menamakan dirinya  Raymond B. dengan e-mail ba67@yahoo.com.

Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang sangat rajin mengkritik perjuangan BN.Saya teringat semasa suatu ketika dahulu pernah mewakili sekolah dalam pertandingan perbahasan piala Ketua Menteri.Pembahas-pembahas masing-masing menunjukkan kepetahan dan kepintaran ala seorang ahli polotik mengutarakan isu-isu dan membidas hujah lawan.Tidak jauh bezanya dibandingkan dengan karektor-karektor mereka yang suka mengkritik perjuangan ikhlas pemimpin BN di Belaga.Saya orang Belaga juga.Saya fikir bukan saya seorang sahaja yang mendapat tempias pembangunan BN.Sebenarnya sudah banyak pembangunan telah dilaksanakan khusus untuk kemudahan rakyat Belaga.Sedangkan anda yang mengkritik BN pun ‘BANYAK MAKAN’ pembangunan ini juga.Apa yang saya lihat isu-isu yang mereka dedahkan ini memang tak ada satu parti politikpun boleh menyelesaikannya secara total dan dalam masa yang singkat apatah lagi PR yang cuma lahir semalam.Pembangunan berterusan menjadi pegangan BN.Pembangunan secara total tidak datang dengan segera semuanya.Bukan macam ‘order mee kampua’.Syok mengkritik sehingga tidak nampak langsung pembangunan yang telah dicurahkan oleh BN.Inilah sifat-sifat mazmummah yang cuba ditonjolkan oleh mereka yang kurang berusaha memperbaiki cara hidup sendiri.Ingin menjadi orang (VIP) tetapi tak ada orang beri perhatian.Akhirnya sendirilah angkat jadi YB pekik sana pekik sini.Ibarat seekor ayam jantan berkokok dalam sangkar.Nak jadi public figure gunalah cara yang patut dengan menyertai perjuangan BN.Saya percaya jika kita sentiasa bersama BN memperjuangkan hak kita tidak mustahil kita mendapatkannya dengan mudah.Oleh itu saya mengajak mereka yang suka memburukkan kepimpinan BN serta menidakkan pembangunan yang telah ada kembali berjuang bersama kerajaan.Jangan buang masa bersama parti (PR) yang jelas tidak berdaya melaksanakan apa-apa di tempat anda.

Saudara Raymond;

Saya pada bila-bila masa sahaja akan menyertai perjuangan BN jika BN benar-benar ikhlas memperjuangkan kehendak kami orang-orang miskin Belaga. Apakah salah jika sebagai orang miskin kami menuntut supaya diberi surat kelahiran  (sijil beranak)dan kerakyatan Malaysia-Maykad (tingki). Setelah merdeka lebih 50 tahun melalui malaysia tak nampak  ada usaha serius ke arah memudahkan masyarakat pendalaman Belaga memperoleh Maykad. Malah jumlah penduduk pendalaman Belaga yang tidak memiliki sijil lahir dan Maykad menjangkau ribuan orang tahun demi tahun (dalam lingkungan 5000 orang). Apakah dengan angka ini saudara Raymond terus menyeru supaya saya mendukung perjuangan BN. Hanya dengan satu masalah kerakyatan ini sahaja boleh menimbulkan puluhan masalah lain. Antaranya;

1. Anak-anak kami tidak dapat didaftarkan di sekolah kerajaan, tak mendapat bantuan sewajarnya dari aspek pendidikan.

2. Ibu tunggal,warga Emas,anak-anak yatim,penduduk termiskin tak dapat didaftarkan dalam daftar untuk dibantu oleh kerajaan.

3. Tak layak untuk mendapat bantuan perubatan seperti mana warganegara Malaysia yang lain.

4. Tak dapat menuntut hak terhadap harta benda, kerana tak ada hak kerakyatan malaysia.

5. Tak berpeluang memperoleh lesen memandu, KWSP, Socso, atau lain-lain kemudahan bila berkhidmat dengan syarikat balak.

6.Tak memperolehi hak untuk terlibat dalam proses demokrasi (mengundi) dan banyak lagi kalau nak disenaraikan.

Hujah yang saya paparkan ini bukan untuk menang Bahas Piala Ketua Menteri, ia adalah realiti kehidupan kami penduduk miskin di Belaga. Saya sangat pasti jika saudara benar-benar Orang Belaga. Pasti saudara akan merasai perasaan yang sama seperti saya. Melainkan mata dan hati saudara telah buta kerana pembangunan dan kemewahan bawaan BN.

Mengenai dakwaan saudara “Saya fikir bukan saya seorang sahaja yang mendapat tempias pembangunan BN……Sedangkan anda yang mengkritik BN pun ‘BANYAK MAKAN’ pembangunan ini juga”. Sila saudara buktikan berapa banyak pembangunan BN yang telah saya makan dan adakah dalam perjanjian untuk menyertai Malaysia kita dijanjikan hanya untuk mendapat “tempias sahaja”. Saya berhujah dan menuntut supaya sebagai rakyat malaysia kita harus dilayan dan memperolehi hak yang sama, selaras dengan slogan 1Malaysia.

Saya akui memang pembangunan tak akan mampu  dijampi sekelip mata, seperti kisah Aladdin dan lampu ajaibnya. Tapi sekurang-kurangnya mereka-mereka yang telah diberi mandat selama lebih 50 tahun ini patut bertanggungjawab dan berusaha sedaya upaya memenuhi inspirasi dan aspirasi rakyat. jangan asyik sibuk berpolitik sahaja sehingga lupa tanggungjawab.

Saudara mengecam saya sebagai nak jadi YB,VIP, nak jadi public figure untuk dapat perhatian.Gelaran-gelaran duniawi yang saudara sebutkan itu bukan wadah perjuangan saya. Bagi saya kepuasan melihat anak-anak,adik-adik,kakak, ibu,ayah, datuk,nenek memperolehi hak mereka dibumi bertuah ini adalah tujuan murni saya “berkokok”. Ada ribuan warga Emas di Belaga yang mati tak berpeluang mengenggam sekeping “tingki”. Apakah maknanya anda mendendangkan lagu pembangunan sedangkan keperluan asas kerakyatan, kesihatan,keselamatan,air,elektrik tak dapat dilaksanakan oleh kerajaan BN.

Saya berhujah dan menyandarkan hujah dan harapan saya kepada Pakatan Rakyat(PR). Bukan kerana saya tergila-gilakan PR.Kerana hanya PR sahaja yang membenarkan orang seperti saya bersuara, sedangkan juak-juak BN minta supaya kita tutup mulut dan isi perut sendiri.Hal orang lain kau jangan sibuk. Mana mungkin saya tak sibukkan diri, sedangkan yang masih menderita dan miskin itu penduduk Belaga-Rakyat Malaysia. Jika ditakdirkan satu hari nanti PR berkuasa dan tak menjalankan amanah yang diberikan dengan baik. Nada suara yang sama akan saya kumandangkan untuk mengkritik mereka.

Saudara Raymond, dengan sedikit upaya yang ada pada kita berusahalah membantu orang-orang yang susah bukan mempelawa orang menyokong kerajaan perasuah. Kami penduduk Belaga ibarat ayam kampung yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sungguhpun demikian kami bebas berkokok dan bertebaran. Kami cari makan sendiri, tak harapkan kontrak-kontrak kerajaan. Percayalah ayam kampung bukan selamanya jaguh kampung. Suatu hari nanti ayam kampung akan jadi seekor Rajawali yang mampu terbang tinggi.

One Response to “Komen Pilihan-Mari Berjuang Bersama BN!!!.”

  1. nowmaica Says:

    Isu pendaftaran tak dapat diselesaikan, isu sekolah semakin parah infrastructure makin usur..ini masalah basic….jika dengan inilah caranya kita nak orang kita maju, kita hanya tipu, pergi ke hulu sungai tolong rakyat daftar anak-anak meraka untuk dapatkan dokumen yang sah untuk masa depan mereka, baiki kemudahan di sekolah dan beri meraea bantuan untuk bersekolah dari tabung-tabung sekolah dan biasiswa yang ada….itu kalau nak tolong…berkhidmat untuk rakyat, wakil rakyat namanya…kalau tak mampu melakukan tugas ini kita cari calon yang boleh buat kerja ini dengan baik. Jangan politikkan perkara-perkara kecil dan basic ini.

    Apa yang boleh memajukan orang Belaga? Pelajaran, jadi tolong anak-anak kita untuk dapatkan pelajaran yang cukup, pindahkan guru-guru yang suka memburu, suka membuat ladang kelapa sawit, menangkap ikan dari daerah Belaga, mereka tidak fokus melakukan tugas yang telah diberikan dan ditanggungjawabkan kepada mereka. Lakukan perkara-perkara yang betul dengan cepat dan pantas, jangan dilengah-lengahkan lagi. YB yang tak guna/malas turunkan mereka, DO yang tak buat kerja dengan baik pindahkan dia dari sana. Penghulu/Pemanca/Maren uma yang makan sendiri gantikan dengan yang baru. Orang yang penipu tak layak di Belaga..nanti Belaga tak maju, nowmaica marah nanti. Pemimipin yang tahu berkokok masa pilihanraya tolak mereka pilih pemimpin baru.

    Ini adalah satu sesi brainstorming supaya kita mula berfikir dan terus berfikir. Ynag marah kalau terkena tempias kata-kata yang panas kerana anda tak melakukan tugas dengan baik. Siapa makan cili dia rasa pedas!

    Kami yang di bandar tiada masalah dengan perkara basic ini cuma boleh melakukan transaksi ini dalam sekelip mata, bukan cakap besar tapi itulah hakikatnya….tapi orang kampung tak MAMPU untuk keluarkan kos untuk berulang-alik tolong mereka dengan ikhlas….jangan harap pagar pagar makan padi, harap orang yang telah ditempatkan atau diberi kuasa untuk melakukan perkara ini orang tu tak buat kerja.

    Satu Belaga, tolak pemimpin yang tak kotakan janji mereka.

Comments are closed.


%d bloggers like this: