Putrajaya setuju perkataan Allah diguna di Sabah, S’wak.

Joe Fernandez
Jan 15, 10
3:23pm

Selepas beberapa bulan tercetus isu penggunaan perkataan Allah oleh bukan Islam, kerajaan BN nampaknya bersetuju kalimah suci tersebut digunakan di Sabah dan Sarawak.

Penganut Kristian di Malaysia Timur boleh terus menggunakan kalimah tersebut bagi terjemahan ‘God’ dalam cetakan bahasa Malaysia, kerana mereka telah menggunakannya sejak 300 tahun yang lalu.

Kerajaan persekutuan bagaimanapun masih tidak bersetuju penganut Kristian di Semenanjung menggunakan perkataan Allah walaupun dalam cetakan bahasa Malaysia.

Rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung mesti menghormati larangan tersebut.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz (kiri) dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan daripada Borneo Post, Utusan Borneo and Oriental Daily.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu tersebut kerana ia sudah menjadi tradisi mereka di sana.

Nazri berkata, beliau pernah menyaksikan upacara sembahyang di sebuah gereja kaum Iban dan mendengar perkataan Allah disebut di situ.

Ditanya mengapa perlunya dua peraturan mengenai penggunaan perkataan Allah, beliau berkata ia bukan satu amalan yang unik kerana Malaysia juga mempunyai dua undang-undang bagi perkara yang lain juga, contohnya, mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Menurut Nazri, situasi di Semenanjung berbeza kerana perkataan Allah hanya mula diperkenalkan dalam penerbitan dan upacara sembahyang penganut Kristian beberapa tahun yang lalu.

Katanya, umat Islam di Semenanjung Malaysia tidak dapat menerimanya kerana perkataan Allah tidak pernah digunakan untuk tujuan penyebaran, sehinggalah baru-baru ini.

Oleh itu, katanya, mereka mempersoalkan motif di sebalik penggantian perkataan Tuhan dengan perkataan Allah.

Menurut Nazri lagi, Perlembagaan Persekutuan juga menegaskan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan masyarakat Melayu-Islam dan ia telah digubal di semua negeri di Malaysia yang mempunyai sultan.

Oleh itu, katanya, ia tidak termasuk Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah.

Katanya, di negeri-negeri tersebut, bagi melarang penggunaan Allah dilaksanakan, menteri dalam negeri boleh menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk menguatkuasakannya. Ehsan Malaysiakini.


%d bloggers like this: