Projek “TINGKI”.

Pejabat Pendaftaran Terdekat Masih Jauh Bagi Masyarakat Penan

Laporan Khas Oleh Edward Subeng Stephen

SIBU, 1 Okt (Bernama) — Ketika Sarawak baru meraikan ulangtahun ke-45 penyertaannya dalam gagasan Malaysia, masalah penduduk “tanpa kewarganegaraan” terus menghantui negeri ini.

Masalah ini lebih ketara di kalangan masyarakat Penan yang menetap di kawasan pedalaman Belaga di Bahagian Kapit dan Baram di Bahagian Miri.

Dianggarkan lebih 12,000 anggota masyarakat Penan di negeri ini, yang 80 peratus daripadanya menetap di bahagian pedalaman Baram.

Dalam satu temubual baru-baru ini bersama Bernama, Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat mendedahkan empat punca mengapa anggota masyarakat Penan mewakili bilangan terbesar penduduk “tanpa kewarganegaraan” di Sarawak.

“Alasan pertama, yang jelas dan mudah, ialah jarak. Masyarakat Penan menetap di tempat terpencil yang bermakna kaedah perhubungan juga sukar,” katanya.

PERJALANAN JAUH KE PEJABAT PENDAFTARAN

Contohnya, ia akan mengambil masa 14 jam perjalanan untuk sampai ke Miri dari Long Banga di Baram dengan menggunakan laluan denai pembalakan.

“Di Lusong Laku di Belaga, mereka perlu melalui perjalanan 12 jam untuk sampai di pekan Bintulu atau 10 jam untuk sampai di pekan Kapit.

“Tetapi, mereka hanya boleh pergi jika ada kemampuan kewangan.

“Kemiskinan merupakan alasan kedua,” kata beliau.

Untuk menyewa sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Lusong Laku ke Bintulu dan balik memerlukan belanja RM1,500 seorang.

Ini tidak termasuk makanan, tempat penginapan, pengangkutan dan perbelanjaan lain semasa berada di bandar.

Menurut Jelaing lagi kem-kem balak yang beroperasi di kedua-dua kawasan ini lazimnya menyediakan pengangkutan percuma bagi mereka ini tetapi hanya bagi jarak atau bahagian tertentu.

“Adanya pengangkutan awam akan pasti memberi kemudahan kepada mereka. Ketiadaan kemudahan inilah yang mematahkan semangat mereka,” tambah beliau.

Memandangkan semua masalah ini, bukanlah sukar untuk memahami mengapa mereka tidak serius dalam mendapatkan MyKad atau sijil kelahiran.

SEDAR PENTINGNYA DOKUMEN

Sudah pasti mereka sedar akan betapa penting dokumen seumpama, katanya.

Bagaimanapun, menurut Jelaing, kerajaan tidak akan lepas tangan dalam hal ini dan menekankan bahawa “kawasan khas memerlukan perhatian khas.”

“Bagi Sarawak sejak 2004, kami telah tubuhkan satu pasukan bergerak untuk memberi khidmat di kawasan pantai dan luar bandar.

“Dalam satu kempen baru-baru ini, kami membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk menghantar satu pasukan ke Lusong selama seminggu,” katanya.

Dalam kempen pada akhir Julai lepas, pasukan itu berjaya meluluskan dengan segera 227 Mykad dan 125 pendaftaran lewat kelahiran mewakili satu peningkatan sebanyak 30 peratus dalam bilangan anggota masyarakat Penan di kawasan itu dengan dokumen berkenaan.

RANCANG LEBIH BANYAK KEMPEN LUAR BANDAR

Beliau berkata selepas sambutan Hari Raya ini satu lagi pasukan bergerak akan melawat penempatan Penan di Long Murum, tapak projek Empangan Hidro Elektrik Murum, yang bernilai RM3 bilion dan mampu menjana tenaga sebanyak 944MW.

Terdapat kira-kira 1,000 anggota masyarakat Penan di tujuh penempatan di kawasan seperti Long Wat, Long Luar, Long Tangu, Long Menapa, Long Singu, Long Malim dan Long Uba.

Daripada 1,000 pekerja di tapak projek hidro elektrik itu, hanya 30 adalah warga tempatan.

“Kita perlu bertindak sebelum keadaan bertambah rumit. Lebih ramai pekerja asing yang akan tiba di projek Murum yang dijadual siap menjelang 2013,” katanya.

Ramai lagi yang mungkin datang untuk bekerja di ladang balak dan kelapa sawit di kawasan sekitar.

MASALAH SOSIAL PENAN

Beliau berkata warga asing ini mungkin berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Tetapi apabila kontrak kerja mereka tamat, mereka akan meninggalkan isteri dan anak tanpa Mykad atau sijil kelahiran.

Jelaing berkata satu lagi masalah ialah orang luar ini mungkin mendakwa diri mereka sebagai warga Malaysia untuk terus menetap di sini.

“Adalah sangat sukar untuk memantau pergerakan orang luar kerana sempadan panjang kita dengan Kalimantan di Indonesia yang mudah dibolosi.

“Tetapi hakikatnya kita perlu membantu warga kita. Kita juga bergantung kepada pemimpin masyarakat di kawasan terbabit untuk membantu,” katanya.

Bagi anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo yang kawasan pilihan rayanya meliputi seluruh Ulu Belaga, beliau mahukan semua anggota masyarakat yang layak mendapatkan MyKad dan sijil kelahiran mereka sebelum Empangan Hidroelektrik Murum mula beroperasi.

“Bagi saya, mereka memerlukan bantuan kerajaan dan semua warga Malaysia yang lain.

“Kita tidak boleh terlalu bertegas dengan syarat-syarat dan kriteria kerana jika tidak kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.

— BERNAMA.

Pada 22 Jan depan TPM Muhyiddin Yassin akan ke Sg.Asap untuk buka pusat Pendaftaran JPN bergerak. Belagakini akan membuat laporan lanjut.


%d bloggers like this: