PERJANJIAN BAKUN 2010.

1. Bayaran Royalti Air.

Pihak Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju membayar secara tunai  bayaran royalti air dari empangan hidro elektrik Bakun sebanyak RM 15 juta setahun (Satu juta untuk sebuah rumah panjang). Bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap rumah panjang pada atau sebelum 16 september tiap-tiap tahun, selama 999 tahun.

2. Bayaran Royalti Penjanaan Tenaga.

Pihak Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju membayar secara tunai bayaran royalti penjanaan kuasa dari empangan hidro elektrik Bakun sebanyak RM2.4 juta setahun (RM 106 ribu ringgit untuk sebuah rumah panjang). Bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap rumah panjang pada atau sebelum 16 september tiap-tiap tahun, selama 999 tahun.

3. Bekalan Tenaga Elektrik Percuma.

Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju membekalkan tenaga elektrik secara percuma kepada semua tempat kediaman dalam kawasan penempatan semula Bakun. Manakala pihak, industri atau pihak-pihak lain akan dikenakan bayaran seperti harga semasa.

4. Bekalan Air Bersih Percuma.

Pihak Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju membekalkan bekalan air bersih yang terawat kepada semua isirumah dalam kawasan penempatan semula Bakun. Manakala pihak syarikat, industri atau pihak-pihak lain akan dikenakan bayaran seperti harga semasa.

5. Pusat Penempatan Semula Bakun.

Pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bersetuju menyediakan pusat penempatan semula kepada kesemua 15 buah rumah panjang yang terlibat dengan pembinaan empangan hidro elektrik Bakun secara percuma. Pusat penempatan semula ini harus dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti jalan berturap, Bank, Pejabat Pos, Hospital, Sekolah, pusat komersial, Kemudahan sukan, Pejabat Agensi Kerajaan, Gereja Pusat untuk RC dan SIB, kemudahan ICT dan kemudahan telekomunikasi yang lain. Keperluan penduduk penempatan semula Bakun terhadap kemudahan-kemudahan ini akan dikaji dan ditambah-baik dari masa ke semasa.

6. Bayaran Pampasan.

Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju membayar semua bentuk kerugian yang dialami oleh penduduk 15 buah rumah panjang yang dipindahkan ke kawasan penempatan semula Bakun. Iaitu mencakupi bayaran tanah komunal, tanah kebun, rumah panjang yang ditinggalkan, kuburan, termasuklah bayaran kehilangan pendapatan dan hasil hutan. Pembayaran segala bentuk pampasan ini harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum fasa penakungan air didalam empangan Bakun dilaksanakan.

7. Tanah Pertanian.

Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan lot tanah pertanian seluas 10 ekar untuk setiap keluarga yang menetap di kawasan penempatan semula Bakun. Disamping itu pihak kerajaan akan menyediakan segala kemudahan dan bantuan kepada penduduk untuk memajukan tanah pertanian mereka. Gran hak milik tanah dan rumah harus diserahkan kepada penduduk sebelum fasa penakungan air dalam empangan Bakun dilaksanakan.

8. Tabung Amanah Bakun (TAB).

Pihak Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan pihak operatur tenaga elektrik Bakun bersetuju menyumbang masing-masing RM 1 juta setahun kepada Tabung Amanah Bakun, bagi menjaga kepentingan pendidikan anak-anak penduduk Belaga. Walau bagaimanapun ini tidaklah membataskan hak anak-anak penduduk Belaga untuk memperoleh biasiswa atau penajaan pendidikan daripada pihak-pihak lain.

9. Hak Terhadap Tanah Komunal,NCR Dan Pulau-Pulau.

Pihak Kerajaan Negeri dan operator tenaga elektrik Bakun hanya diberi kuasa mengendalikan takungan air dan tanah tapak empangan Bakun sahaja. Manakala tanah-tanah lain (NCR) dan pulau-pulau yang terhasil daripada penakungan air empangan adalah hak mutlak penduduk setiap rumah panjang mengikut kawasan. Kerajaan Negeri dan operatur tenaga Bakun tidak boleh menghalang penduduk memajukan pulau-pulau Bakun selagi tidak memberi masalah kepada operasi penjanaan tenaga.

10. Hak Terhadap Tasik Takungan.

Tasik takungan yang terbentuk hasil daripada pembinaan empangan hidro elektrik Bakun adalah hak bersama penduduk Bakun dan operatur tenaga hidro elektrik Bakun. Sebarang usahasama untuk memajukan tasik takungan harus menguntungkan kedua-dua belah pihak dalam nisbah 50:50.

11. Pegangan Saham Syarikat Operator Tenaga.

Setiap rumah panjang akan diberi pegangan 1% terhadap saham Syarikat Operator tenaga hidro elektrik Bakun. Menjadikan jumlah pegangan keseluruhan 15% untuk 15 buah rumah panjang.

12. Semakan Perjanjian Setiap 10 Tahun.

Perjanjian Bakun akan disemak semula setiap 10 tahun sekali. Kerajaan Negeri akan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Ketua Setiausaha Negara, Operator Tenaga diwakili oleh CEO syarikat manakala penduduk Bakun diwakili oleh ketua kaum (Temenggong) dan seorang wakil untuk setiap rumah panjang.

12 perkara yang dituntut dalam Perjanjian Bakun 2010 adalah selaras dengan kehendak deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) Terhadap Hak Orang Asal(UN-DRIP), dimana Malaysia adalah salah sebuah negara yang menandatanganinya. Draf Perjanjian Bakun 2010 telah dihantar ke pengatahuan Persatuan Peguam-Peguam Orang Asal(SILA) untuk diperhalusi. Perjanjian Bakun 2010 adalah ilham saya sebagai seorang penduduk Asal Bakun-Hary Wing Miku.

One Response to “PERJANJIAN BAKUN 2010.”

  1. semanunited Says:

    mesti ada perancangan tg teliti perjanjian bakun ni saudara,contohnya:
    1) due datenya bila
    2) perlu atau tak Boss Orang Asal sain perjanjian ini
    3) perlu atau tidak dibentuknya satu tim untuk memperjuangkan perjanjian Bakun ini? Dan jika perlu adakah ia mesti melibatkan wakil dari setiap kampung?
    4) Dan sebagai-bagainya…

    Diskusi/percambahan idea secara kritis adalah sangat perlu untuk memastikan bahawa perjanjian Bakun ini boleh memberi impak dan kesan kepada perintah yang akhirnya memberi faedah/manfaat kepada Orang Asal.

    Saya melihat cabaran yang akan ditempuhi oleh saudara dan pasukan apabila memperjuangkan perjanjian Bakun ini nanti adalah:
    1) Diri saudara sendiri
    2) Penerimaan Orang Asal terhadap perjanjian Bakun ini? kerana AKDC pun saya lihat boleh tahan juga dari segi kertas kerjanya dalam usaha memperjuangkan nasib orang Asal-kerana itu penjelasan/penerangan secara jelas dan terperinsi terhadap faedah/manfaat tang bakal diperolehi oleh Orang Asal sekiranya perjanjian Bakun ini berjaya dan bagaimana perjanjian Bakun itu sendiri akan beroperasi/dioperasikan perlulah diterangkan secara bersemuka/sesi dialog.
    3) Penolakan yang semestinya akan diterima dari pihak perintah.

    Secara peribadi-perjanjian Bakun yang saudara sediakan adalah bagus/baik tetapi saudara mestilah sediakan diri sebaik-baiknya.

    Terima Kasih.

Comments are closed.


%d bloggers like this: