Ketua Kaum Akan Dipecat Jika Sokong Pembangkang.

KOTA SAMARAHAN: Ke-tua kaum yang menyokong pihak pembangkang secara terbuka bakal berhadapan dengan risiko tidak akan dilantik lagi bagi penggal se-terusnya.Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata ketua kaum perlu menyedari hakikat bahawa mereka dilantik oleh kerajaan untuk memegang jawatan itu dan perlu membalasnya dengan menyokong kerajaan.

“Jika mereka (ketua kaum) dengan terbukanya tidak menyokong kerajaan, maka Pegawai Daerah boleh merekomenkan jawatan mereka digugurkan.

“Bagaimanapun, mereka akan dimaklumkan terlebih dahulu menerusi surat dan selepas itu tempoh perkhidmatan mereka akan ditamatkan lebih awal,” katanya dalam Program Latihan Ketua Masyarakat Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini semalam.

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berkata tempoh perkhidmatan bagi ketua kaum adalah empat sehingga lima tahun.

Menurut beliau, ketua kaum perlu menyokong kerajaan bukan hanya mereka dilantik oleh kerajaan, tetapi juga diberi elaun RM450 setiap bulan.

Selepas tempoh berkenaan, katanya ia akan dinilai sama ada akan diperbaharui atau sebaliknya.

Ketika ditanya jika terdapat kes ketua kaum diberhentikan, beliau berkata setakat ini tidak ada kes dilaporkan berlaku khususnya di konstituensinya.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan berkenaan tidak boleh mengadakan kempen bagi pihak pembangkang secara terbuka.

Katanya, walaupun tidak dapat memainkan peranan dalam bidang politik secara langsung, tetapi ia tidak menghalang ketua kaum berkempen untuk pihak kerajaan.

“Mereka tidak boleh me-nyokong pembangkang, tetapi mereka boleh menyokong kerajaan,” katanya.

Beliau menasihati ketua kaum agar tidak dipengaruhi oleh pihak pembangkang.

Menurutnya, ketika beliau menjadi Walikota Kota Samarahan pada 1995, banyak kampung yang tidak dapat dihubungi menerusi jalan raya dan jika ada, ia bukan jalan raya yang berturap, berbeza dengan se-karang.

“Jadi, kalau ada pihak pembangkang mengatakan bahawa dalam tempoh 46 tahun selepas kemerdekaan baha-gian Samarahan tidak berubah, saya percaya mereka ini buta dan tidak sanggup mengakui perubahan yang  telah berlaku,” katanya.

by Sandy Mark Luna
April 16, 2010, Friday
Dipetik Daripada: Borneo Post Online

Kenyataan Micheal Manyin adalah satu ugutan sekaligus penghinaan terhadap Ketua-Ketua Kaum Kita Orang Ulu-Dayak. Maksudnya ketua kaum tidak harus ada pendirian sendiri dan harus ikut telunjuk kerajaan sahaja. Gaji RM 450 kepada Ketua-Ketua Kaum juga merupakan satu penghinaan. Tugas dan tanggungjawab ketua kaum amat berat dan mencabar. Tetapi Kerajaan BN membayar gaji setaraf gaji kuli buruh kasap kepada mereka. Kemudian kerajaan BN menggalakkan mereka memunggut elaun daripada syarikat-syarikat balak berhampiran kampung mereka, yang mana ini merupakan satu bentuk rasuah dan penyalah-gunaan kuasa.

Agama mahukan keadilan, demokrasi mahukan kebebasan, pengundi perlu diberi pilihan dalam membuat keputusan. Nilaikanlah sikap dan hujah-hujah pemimpin BN yang sejenis ini. Kalau sesuai dihati anda. Teruskanlah mengundi dan memberi kuasa memerintah kepada mereka. Kalau tidak marilah kita gerakkan satu kesedaran untuk satu malaysia yang lebih adil, bebas dan aman.  Belagakini.


%d bloggers like this: