1,000 Penan ditempatkan semula di kawasan tadahan Empangan Murum

July 3, 2010, Saturday

KUCHING: Kira-kira 1,000 orang Penan di kawasan pembinaan Empangan Murum akan ditempatkan semula di kawasan tadahan seluas 200,000 hektar.

Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing berkata, program itu berbeza dengan skim penempatan Sungai Asap di kalangan Kenyah dan Kayan di Empangan Bakun.

“Kita tidak boleh menyamakan (cara hidup) Penan yang gemar berpindah dengan Kenyah dan Kayan yang mengamalkan hidup menetap. Kita masih mengkaji kesesuaian,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dilaporkan akhbar baru-baru ini terhadap nasib Penan apabila empangan tersebut dibina.

Menurut Masing, Suhakam tidak perlu risau tentang kebajikan Penan kerana kerajaan negeri dalam proses berbincang dengan kaum tersebut tentang keperluan.

Penempatan semula itu kelak katanya dijangka mengubah hidup Penan agar lebih baik.

“Kerajaan faham tentang keperluan Penan yang berbeza dengan masyarakat daripada kalangan Kenyah dan Kayan di Sungai Asap,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta agar syarikat pembalakan dan perladangan agar tidak menceroboh ke kawasan tadahan di sekitar Empangan Murum.

“Aktiviti perhutanan seperti menebang balak di situ akan mendatangkan kerosakan di kawasan tadahan,” katanya.

Empangan Murum membabitkan kawasan termasuk Long Singu, Long Tangau, Long Luar dan Long Jaik.

Ia dikatakan merangkumi 30,000 hektar kawasan di Lembah Murum. Apabila siap pada 2013, ia mampu menjana 900 megawatt tenaga elektrik.

Dipetik daripada Utusan Borneo Online.

Apa kata anda?????. Kemukakan pendapat anda untuk dikongsikan bersama.-Belagakini

One Response to “1,000 Penan ditempatkan semula di kawasan tadahan Empangan Murum”

  1. Amaitebun Says:

    Sama saja dengan penempatan di Sg Koyan Assap tu. Tiada beza…buat apa nak buat empangan banyak2. Nak jual tenaga elektrik kat mana lagi? Bakun nak lebih utk Sarawak. Nak jual kat Semenanjung? Semenanjung dah batalkan projek tu tak nak terima dari Sarawak dah. Jual kat Indonesia? Mana ada indonesia maju? Apa faedah kpd rakyat? Kalau nak bagi orang Sarawak free elektrik boleh lah. Jangan2 penduduk penan murum pun tak ada kasi free nanti.

Comments are closed.


%d bloggers like this: