Kemungkinan melioidosis dirahsiakan di Sarawak?

Wabak penyakit ‘melioidosis’ atau bakteria disebabkan air dan tanah yang menular di Sarawak dikatakan menjejaskan pekerja di empangan hidroelektrik Bakun.

Namun menurut pegawai daripada Jabatan Kesihatan Sarawak, terdapat pekeliling yang dikeluarkan bulan ini yang melarang mereka daripada mengeluarkan sebarang maklumat berhubung melioidosis.

“Kami menerima arahan daripada pegawai kanan agar tidak mengeluarkan sebarang maklumat bermula bulan ini, walaupun beberapa bulan sebelum ini, kami juga tidak keluarkan sebarang kenyataan,” katanya sambil menambah beliau tidak boleh mendedahkan sebab larangan itu.

Bagaimanapun Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican berkata beliau tidak dimaklumkan berhubung sebarang larangan itu.

Permohonan bertulis

Seorang pegawai di Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit juga menafikan berhubung larangan itu tetapi berkata sebarang maklumat akan hanya diberikan jika ada permohonan bertulis.

Wabak itu menarik perhatian apabila pada 10 Julai lalu, enam penduduk kampung yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur, Lubuk Yu, dekat Maran, Pahang meninggal dunia dalam tempoh seminggu selepas operasi itu.

Semua mereka yang terbabit dalam operasi bermula 26 Jun hingga 30 Jun itu, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah). Kejadian itu menyaksikan kawasan rekreasi itu ditutup dan dibersihkan oleh pelbagai agensi kerajaan. Lebih menggemparkan lagi apabila dua hari lalu, seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka yang terlibat dalam operasi itu menjadi mangsa terbaru.

Malaysiakini menghubungi Jabatan Kesihatan Sarawak bagi mendapatkan perangkaan berhubung  dakwaan wabak itu juga mungkin menular di kalangan pekerja pembinaan di empangan Bakun.

Bakun: Sembilan mati, 50 dijangkiti.

Menurut seorang pegawai pengurusan bagi satu daripada sub-kontraktor projek berkenaan, sebahagian daripada pekerja di situ dijangkiti sejak projek itu bermula. Pegawai yang tidak mahu dikenali itu melahirkan kebimbangannya kerana mendakwa beliau mempunyai maklumat berhubung sembilan orang yang telah meninggal dunia akibat dijangkiti sejak setahun lalu.

Katanya lagi, dia menjangkakan tidak kurang 50 lagi pekerja di syarikatnya telah pulih selepas menerima rawatan sepanjang tempoh yang sama. Kebanyakan pekerja adalah rakyat asing dan mereka lazimnya dihantar pulang selepas dirawat kerana syarikat tidak mahu mengambil risiko kebimbangan penyakit itu menular. Penyakit itu dilaporkan boleh kembali walaupun mereka yang telah dirawat itu telah pulih.

Dakwanya lagi, majikannya telah menghantar pulang 10 pekerja atas sebab berkenaan sepanjang tahun lalu dan ada juga yang dihantar pulang tanpa rawatan. “Pekerja yang mati tidak menerima rawatan pada peringkat permulaan kerana mereka tidak melaporkan yang mereka sakit. Ini kerana mereka bimbang akan dihantar pulang,” katanya.

Pekerja-pekerja terbabit dipercayai terdedah kepada jangkitan ketika menjalankan tugas-tugas menggerudi tanah. “Saya bimbang ini akan berterusan dan menular kepada pekerja di empangan Murum,” katanya.Beliau juga mendakwa dua orang kini terlantar di unit rawatan intensif (ICU) di hospital Bintulu, termasuk seorang penduduk kampung masyarakat Belaga yang dipindahkan berikutan pembinaan empangan itu. (Dipetik dariapada Portal Berita Malaysiakini)

Ulasan Belagakini.

Sejak sekian lama daerah Belaga menjadi sarang segala kegiatan “GELAP”, banyak perkara dirahsiakan daripada pengetahuan awam dan  gagal dihidu oleh pihak media. Kedudukan Belaga di kawasan terpencil menyukarkan liputan media dan menghadkan penyaluran maklumat.

Pada bulan lepas beribu-ribu ikan mati di empangan Bakun. Namun sehingga kini penduduk Belaga masih tidak mengetahui apa puncanya. Adakah ikan itu mati kerana ajalnya sudah tiba??? atau kerana keracunan/diracun  atau terdedah kepada logam berat seperti merkuri. Kini Portal Berita Malaysiakini  melaporkan pula Kes-kes penyakit Meliodosis, dan seperti mana yang kita sedia maklum, Bakun juga sarang “kegiatan pelacuran”. Adakah ini harga sebuah pembangunan. Tepuk dada dan fikir-fikirkanlah.

One Response to “Kemungkinan melioidosis dirahsiakan di Sarawak?”

  1. manuk long Says:

    ikan dekat Belaga mati sebab sangat gembira ada empangan Bakun jadi mereka berenang terlalu lama sampai pengsan dan MATI! ramai-ramai, bukan kerana epedemik Meliodosis kot….ada unsur-unsur kata sebab kita clear kawasan ladang dan bakar ladang untuk menanam padi bukit….taiklah cara ini sudah lama digunakkan seokor ikan pun tak mati setiap tahun kecuali orang pergi pasang pukat dan tangkap ikan baru ikan dibunuh. jagan berselidung disebalik politik murah kami orang belaga tidak seperti dulu lagi sekolah sampai darjah tiga saja….kita dah keluar dah…dah melihat dunia luar dah tau tipu muslihat orang yang berkenaan..rakyat Belaga harus dilindungi dari penyakit berjangkit ni, harap kerajaan membuat tindakan susulan untuk membendung masalah ini dari berleluasa.
    Saya NO to penipu, yang menyorok kebenaran……maju Belaga nowmaica….

Comments are closed.


%d bloggers like this: