Selamat Hari Malaysia.

Semalam, 14.09.2010, ibu, ayah dan rombongan dari Pusat Pengembangan Budaya Kayan Uma Balui Liko berlepas ke Kuala Lumpur untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia, yang disambut buat julung-julung kalinya. Mereka dijadualkan mengadakan persembahan di beberapa tempat di Kuala Lumpur dan juga turut akan membuat rakaman Sapek dan Parap di Pulau Pinang. Terima Kasih sekalung budi kepada pihak yang berusaha keras menjayakan lawatan tersebut.

Bercakap mengenai sambutan Hari Malaysia,jika tidak kerana Tsunami 8Mac. Hari ini (Hari Malaysia) tidak akan menjelma buat selama-lamanya. Pihak pemerintah di semenanjung takut dan ragu-ragu untuk membenarkan rakyat memeriahkan hari terbentuknya Malaysia.  Takutkan apa??? saya pun tak tahu. Apakah dengan menyambut Hari Malaysia akan mencetuskan pergaduhan kaum??? Hanya Orang-Orang Yang Bodoh sahaja yang akan bergaduh pada musim perayaan.

Pada saya hanya ada satu sebab mengapa selama ini pihak di semenanjung endah tak endah untuk merayakan Hari Malaysia. Kerana ia tidak penting, yang lebih penting ialah 31 OGOS 1957. Bukanya 16 Sept 1963. Itu pandangan pemerintah semenanjung atau mungkin juga pandangan majoriti rakyat tanah semenanjung.

Bagaimanapun, ketika tarikh 31 OGOS itu dilaungkan, negara yang terbentuk ialah Negara Malaya, bukanya Negara Malaysia. Jadi peri pentingnya tarikh 16 sept ialah kerana terbentuknya sebuah negara baru, yakni Negara Malaysia. Justeru pembentukan Malayisa menyaksikan bertapa pentingnya peranan dan penyertaan Sabah dan Sarawak sebagai pelengkap kepada pembentukan sebuah negara baru.

Apakah kerana kepentingnya penyertaan Sabah dan Sarawak untuk membentuk negara Baru Malaysia, maka ia cuba untuk dilupa-lupakan supaya ia nampak tidak penting??? Jika itu niat pemerintah selama ini, insaflah. Pemerintah di semenanjung jangan lupa bahawa dalam pembentukan Malaysia dinyatakan dalam perlembagaan bahawa kaum peribumi Sabah dan Sarawak diberi Hak Istimewa sama seperti bangsa MELAYU dan PERKASA.

Istimewa itu maksudnya apa??? maaflah saya bukan pakar bahasa. Tapi bagi mereka-mereka yang biasa menggunakan perkhidmatan penerbangan kelas pertama, menginap di hotel 10 bintang (ada ke??), melancong di atas kapal persiaran mewah, memiliki kad kredit utama, pasti memahami apa itu layanan istimewa. Boleh dikatakan bila ada hak istimewa ini, kita tak perlu minta, sebaliknya perkhidmatan diberikan dengan cukup mewah dan melampau-lampau.

Kini setelah 47 tahun membantu membentuk Malaysia, apakah Hak Istimewa kaum Peribumi Sabah dan Sarawak telah diterjemahkan??? penduduk Sabah dan Sarawak sentiasa meminta-minta tapi pemerintah di semenanjung buat-buat lupa saja. Di Kota-kota besar seluruh negara yang rata-rata dihuni oleh kaum yang lebih kaya tapi bijak berpolitik, kemudahan frasarana dibina melampau-lampau. Jalan raya dibina bertingkat-tingkat dan memakan belanja berbilion ringgit.Sekolah, Hospital,Lapangan Terbang,Kemudahan sukan, Pusat Persidangan, Universiti dan segala-galanya dibina dan diberikan. Jadi sekarang siapakah sebenarnya yang diberi hak istimewa??? dan dilayan istimewa???

Setiap kali diasak oleh oleh penduduk pendalaman, kerajaan sentiasa mampu menyediakan alasan yang munasabah dan munasarawak. Kata mereka Sabah dan Sarawak terlalu luas dan terpencil. Tak cukup bajet. Barang perlu diingat bahawa Genting Highland dulu pun hutan belantara dan hampir mustahil untuk mamajukannya. Tapi kerana semangat dan kegigihan, mendiang Lim Goh Tong berjaya juga memajukanya hingga menjadi Kota Keriangan dan kita diasak oleh anak-anak setiap kali cuti sekolah untuk melancong ke sana.

Kenapa kawasan yang luas dan terpencil menjadi alasan. Bukankah kawasan yang luas dan terpencil itu ditumbuhi oleh hutan hujan tropika yang terkaya sekali didunia???. Bukankah tanah yang luas ini boleh dan telah diusahakan dengan perladangan kelapa sawit antara yang terluas didunia??? Bukankah gunung-ganang dan bukit bukau ini mengandungi deposit batu dan galian yang mahal harganya. Bukankah air yang banyak dan jernih ini mampu dibuat air galian atau air minuman. Bukankah kini kerajaan negeri Sarawak bakal mengaut untung yang melimpah-ruah hasil daripada penjanaan kuasa hidro???

Sempena dengan hari Malaysia yang bakal dirayakan esok, saya menuntut kembali HAK ISTIMEWA  saya yang telah sekian lama dilupa-lupakan. Saya mahukan kembali tanah saya yang luas, udara saya yang segar, air saya yang jernih dan ketuanan saya di bumi Sarawak. SELAMAT HARI MALAYSIA.

One Response to “Selamat Hari Malaysia.”

  1. semangunited Says:

    semenjak aku dah tua ni aku tidak sambut 31/8 dah-bagi aku itu hari Malaya Merdeka bukan hari Malaysia merdeka.

Comments are closed.


%d bloggers like this: