Mendekati hati masyarakat Penan

Liwan Lagang bangga dengan peranan beliau sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, yang merupakan DUN terbesar di Sarawak.

DUN ini merupakan satu daripada dua DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Rajang yang keluasannya hampir sama dengan negeri Pahang di Semenanjung.

Bagaimanapun kawasan DUN sebesar ini membawa cabaran besar bagi Liwan, ataupun bagi sesiapa sahaja yang menjadi wakil rakyatnya.

“Mobiliti merupakan cabaran besar. Hanya melalui komitmen sebenar dan melalui bantuan daripada rakan, anggota parti, NGO saya dapat melawat kawasan,” kata beliau kepada Bernama dalam temubual terbaru di Long Tanyit, sebuah daripada penempatan minoriti Penan di Belaga.

Perjalanan jauh

Liwan, seorang anggota majlis tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), satu daripada parti komponen BN negeri, berkata untuk meredah jauh ke pedalaman kenderaan pacuan empat roda perlu disewa pada kadar RM500 sehari dan ia akan mengambil masa perjalanan selama tiga hari walaupun menggunakan laluan paling singkat.

“Jika pegawai kerajaan turut mengiring, maka kami perlu mendapatkan sehingga empat kenderaan yang akan meningkatkan lagi kos sehingga RM6,000. Kemudian perlu mendapatkan kebenaran daripada syarikat-syarikat pembalakan di kawasan itu untuk menggunakan jalan mereka, sesuatu yang mandatori,” katanya.

Walaupun kesukaran yang terpaksa diharunginya, Liwan, seorang bekas guru dan pegawai pendidikan sebelum menceburi politik pada 2006 telah menjelajah 95 peratus daripada kawasan pilihan raya yang majoriti penduduknya ialah Orang Ulu (Kenyah, Kayan dan Kajang, Lahanan, Kejaman, Sekapan, Punan dan Penan).

Terdapat 6,691 pengundi berdaftar di DUN ini. Kawasan Penempatan Semula Sungai Asap/Sungai Koyan mempunyai bilangan penduduk paling ramai sekali iaitu 4,103 orang dari 15 rumah panjang di situ.

Kebanyakan mereka adalah daripada masyarakat Kenyah dan Kayan yang berpindah dari pedalaman ekoran pelaksanaan projek Empangan Hidro Bakun bernilai RM7.3 bilion. Jalan-jalan baik memudahkan perjalanan ke situ.

Perlu diajar tanam padi

Liwan bersemangat apabila berbicara mengenai masyarakat minoriti Penan. Beliau berkongsi minat yang sama dengan anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo.

Terdapat lebih 3,000 daripada mereka dalam daerah itu dan lazimnya boleh ditemui di penempatan-penempatan utama – Long Luar, Lusong Laku dan Long Urun.

“Impian saya ialah untuk mengubah cara pemikiran mereka akan gaya hiudp mereka. Mereka perlu diajar menanam tanaman makanan seperti padi.

“Hutan masih ada. Tetapi ia pesat digantikan dengan ladang kelapa sawit dan ladang balak selain aktiviti pembalakan. Mereka semakin kehilangan sumber makanan,” katanya.

Liwan berkata Lembah Linau, yang merupakan kawasan tadahan bagi Empangan Bakun tidak harus dibuka bagi aktiviti pembalakan atau perladangan kelapa sawit untuk membolehkan masyarakat Penan, belajar bercucuk tanam.

Pada masa yang sama bagi yang terjejas kerana projek Empangan Murum, mereka harus diperuntukan kawasan dengan keluasan yang cukup untuk membolehkan mereka meneruskan dengan cara hidup tradisonal seperti memburu, mengumpul hasil hutan dan bercucuk tanam.

Sangat subur

Secara amnya, kata beliau, mereka yang terjejas kerana projek ini bersedia untuk ditempatkan semula.

“Tetapi publisiti negatif di skim Sungai Asap/Sungai Koyan mungkin telah menakutkan mereka.

Mereka mungkin mendengar yang mereka yang ditempatkan di situ perlu membayar bagi air yang dirawat dan bekalan kuasa selain kekurangan tanah untuk bercucuk tanam.

Bagaimanapun, kerajaan negeri mengetepikan tunggakan bernilai RM1.7 juta bagi tempoh 1998 hingga 2006. Saya sangat bangga kerana dapat membantu di sini,”
katanya.

Liwan berkata yang kerajaan negeri perlu mendampingi masyarakat Penan selain Stesen Pertanian di Lusong Laku dibuka semula untuk mengajar mereka menanam padi.

“Kita perlu mempunyai pegawai-pegawai dengan iltizam tinggi bagi tugas ini. Kawasan ini sangat subur.

“Kerajaan juga perlu memutuskan dengan cepat di mana ia mahu menempatkan semula 1,000 anggota masyarakat Penan daripada lapan buah rumah panjang yang terjejas kerana Empangan Murum supaya kemudahan serta sekolah-sekolah dalam bilangan mencukupi dapat diambil kira dalam perancangan,” kata beliau.

Beliau berkata masyarakat Penan di sini tidak berpihak kepada NGO Barat atau tempatan yang mengambil pendirian yang kurang mesra untuk mengutarakan nasib mereka, bukan seperti rakan-rakan mereka di daerah Baram.

Terhutang budi kepada kerajaan

Lagipun, mereka terhutang budi kepada kerajaan kerana bantuan yang diterima selama ini.

“Kami sentiasa berada di sisi mereka untuk memaklumkan akan dasar-dasar serta rancangan kerajaan, dan yang lebih penting membantu memohon sijil kelahiran serta Mykad,” kata beliau.

Beliau memberi contoh yang kerajaan sedang membina 10 buah rumah panjang yang mempunyai 200 unit keluarga di Long Urun bernilai RM8.6 juta di bawah skim Projek Bantuan Rumah.

Dalam politik, masyarakat ini dianggap sebagai “penyelamat” bagi BN kerana mereka menghulurkan sokongan kepada BN semasa pilihan raya.

“Tetapi malang sekali hanya lebih kurang 500 orang daripada mereka yang berdaftar sebagai pemilih. Kami berharap dengan lebih ramai lagi mendapat Mykad, mereka boleh mendaftar sebagai pengundi. Kami akan menjalankan kempen mendaftar pengundi dengan lebih agresif lagi di masa depan,” katanya.

Mengenai rancangan masa depannya, beliau mahu memastikan masyarakat Penan mendapat pendidikan lebih baik.

“Mereka yang berpendidikan boleh menjadi pemangkin serta pemimpin bersama idea-idea kontemporari dan wawasan baru bagi masyarakat itu,” katanya.- Bernama.

Ulasan Belagakini.

Secara peribadi saya amat memuji usaha-usaha yang dilakukan oleh YB. Liwan untuk membantu sekadar yang mampu. Saya juga tumpang simpati kepada beliau ekoran masalah keluasan daerah Belaga yang hampir seluas negeri Pahang itu. Jika benarlah “Rakyat Didahulukan dan Pencapaian di utamakan” Daerah Belaga harus diberi BAJET yang sama banyaknya dengan BAJET negeri Pahang. Dan pecah-pecahkanlah Daerah Belaga kepada 42 kawasan DUN dan 14 kawasan Parlimen seperti komposisi kerusi DUN dan Parlimen di Pahang. Dengan demikian saya yakin Daerah Belaga akan maju dan pencapaian akan lebih cemerlang,gemiliang dan terbilang.

Sama ada YB.Liwan salah buat statement atau wartawan bernama yang salah tulis. “Terhutang budi kepada Kerajaan”-selama puluhan tahun ini Orang Ulu (Penan juga tergolong dalam kelompok Orang Ulu) tidak pernah terhutang budi kepada kerajaan. Malah kerajaan lah yang terhutang budi kepada Orang Ulu. Tanah pusaka Orang Ulu telah memberi hasil berbillion ringgit kepada kerajaan. Hasil daripada pembalakan ini telah menyumbang secara signifikan kepada pendapatan negeri dan negara. Hasil perladangan kelapa sawit,pelancongan(taman negara) dan kini tenaga diperbaharui-hidro bakal memberi sumbangan secara mapan. Bukankah ini semua hasil daripada tanah Orang Ulu Belaga dan Baram????

Sebaliknya kerajaan terus gagal menunaikan tanggungjawab mereka. Ramai anak-anak Orang Ulu gagal mendapat bantuan persekolahan secukupnya ekoran kemudahan frasarana yang kurang memuaskan dan juga ketiadaan sijil kelahiran dan Mykad. Di Long Urun yang jaraknya tidaklah jauh tetapi begitu sukar dihubungi, kerajaan masih gagal membina klinik kesihatan, jauh sekali bekalan elektrik atau bekalan air bersih. Jika pun kaum penan tidak mendaftar sebagai pengundi, yang patut dipersalahkan SPR dan kerajaan BN yang tidak mampu mencipta MYkad untuk kaum ini.

Adalah tidak adil juga menyalahkan YB.liwan dalam semua hal. Beliau hanya masuk Parti PRS sebagai pelampung untuk menyelamatkan BN pada tahun 2006. Pada ketika itu BN sudah hampir lemas di Belaga. Semua ayam-ayam sabung BN yang sedia ada tidak mampu bertaji dengan pembangkang. Maka dipilihlah En.Liwan Lagang yang mempunyai imej bersih dan “Orang Gereja” untuk mengaburi mata pengundi. Memang benar YB.Liwan disukai bukan sahaja kerana imejnya yang bersih malah beliau juga kuat bekerja.

Tapi kita kena terima hakikat bahawa. Sekuat manapun YB. Liwan bekerja. Tenaga beliau tidaklah sama dengan kekuatan 42 orang YB-ADUN dan14 YB-Parlimen di Pahang. Bajet untuk beliau juga tidaklah sebanyak mana. Agak malang kini YB.Liwan dikerumuni oleh tukang-tukang ampu yang tajam pisaunya. Tukang ampu ini biasalah bukannya nak buat kerja untuk rakyat, sebaliknya sedaya upaya mengaut apa yang patut dan tak patut.

Satu lagi hal yang saya nak perbetulkan “Publisiti negarif di skim Sg.Asap dan Sungai Koyan”.Siapakah yang mencipta publisiti negatif ini??? Bukankah kerajaan yang ada sekarang menguasai seluruhnya ruang media.?? TV,radio, internet, surat khabar, majalah malah pihak pembangkang pun tak dibenarkan berceramah di rumah-rumah panjang. Apa yang pihak kerajaan perlu lakukan ialah mengakui kesilapan mereka dan mula memperbetulkannya. Akuilah bangkai gajah tak akan dapat ditutup dengan daun pisang. Majukanlah Skim Penempatan semula Bakun sama seperti BN majukan Mukah. Jadikan Skim Penempatan Bakun sebagai lambang penempatan semula yang berjaya. Selesaikanlah semua isu dan masalah berbangkit dengan SEGERA.  Satu hal yang sangat penting-jangan layan rakyat kerana adanya pilihanraya 5 tahun sekali. Layanlah rakyat kerana kita adalah rakyat Malaysia.

Oh ya, sebelum terlupa Datuk Sri Mohd Shafie Apdal apa khabar???? Mana janji nak menaik-taraf kemudahan di Skim Penempatan Sg.Asap dan Koyan. Pilihanraya negeri sudah semakin hampir . Jangan pula nanti rakyat melabel pemimpin BN sebagai Pembuhong. Kami kontraktor-kontraktor kelas  F  ini , boleh belot kalau tak ada projek.-Belagakini

6 Responses to “Mendekati hati masyarakat Penan”

  1. lejo kayok Says:

    Tahniah atas semua ulasan & komen serta adanya ruangan sebgini utk kita bkongsi apa cerita yg blaku d kws kita esp, kws Belaga. Wlau apapun saya krg stuju dgn kt2 yg mgatakan BN hmpr2 lemas pd ktika itu, pd plhraya DUN lps shgga BN m’angkat Liwen mjd wkl rakyat yg baru dgn alasan dia calon bersih & kuat agama. Bg saya jgn cmpur adukkan agama dgn politik. Agama amat suci sdgkan politik pnuh dgn mcm2 warna, pjuangan mbela rakyat blm pasti rakyat diltkkan pd posisi plg terkedepan…. . 1 lagi kpd mana2 wkl rkyat, bkhidmatlah sguh2 utk rakyat bkn utk M’KAYAKAN kluarga sdiri & kwn2 rapat. Pbahagian tender/kontrak perlu telus tanpa mlihat org itu org YB @ bkn org YB. 1 lagi YB perlu sntiasa peka dgn kdaan smasa mksdnya kbajikan rakyat yg sakit d hospital, masa kmatian, masa rakyat ksuntukan wang apabila d landa mslh kshatan yg bpjgn shga plu ulang alik hspital, jgn ada elemen lokek, saya beri cth X-YB seblum ini, wlpun beliau sdh tdk mjd YB tapi sikap pmurah dia sampai skrg d sbut2 dan dknangi olh ramai org. Sebab beliau sudah biasa dgn amalan itu turun temurun, biasa dgn org2 kpg, pemurah kpd yg ditimpa ksusahan. Fikir-fikirlah..

    • belagakini Says:

      Bacalah berita di seluruh dunia, kebangkitan politik yang lebih toleran, bersih dan telus diterajui oleh orang gereja. Malah kemenangan barisan rakyat di Philipina diterajuai oleh pejuang-pejuang politik dari kalangan gereja.

      Hanya BN yang menurunkan fatwa bahawa politik tidak boleh dikaitkan dengan gereja. Kerana mereka takut mendengar ayat-ayat suci TUHAN. Ayat-ayat yang menegah rasuah dan menuntut keadilan. Bacalah banyak lagi untuk keluar daripada fahaman lama.

  2. Tup Seketup Says:

    Mendekati sahaja buat apa? Pertahankan mereka drp kesan negetif kemusnahan hutan oleh aktiviti perladang komersial, pembalakan dan pembinaan hydroelec dam. Bekalkan mereka dengan klinik, bantuan alatan kewangan utk pendidikan, bina jalan raya dan sediakan air bersih. Setakat bekalkan atap zink tu, baik jangan dicalonkn masa pilihanraya akan dtg.

  3. educatedasap2010 Says:

    Salam Yang Berkhidmat,
    Kami sebagai your customer, and you are our service manager, what we want is things done, not just say merely mendekati, for what you just go and see and helo. you must fight for your people and accomplished your mission. remember we are no more 15 years back, we will only support who are the people walk the talk no matter the candidate is from BN or Opposition, but frankly speaking i m now most prefer opposition. we are rakyat already tired with BN propaganda.THINK22222222 wisely before enter politik

  4. kuli Says:

    sehingga sekarang ada kakitangan pendidikan di sebuah sekolah di sungai asap masih tinggal dalam setor tanpa ada keperluan asas seperti bilik tidur, tandas dan dapur?? Kata nak upgrade sejak dari 2009, mungkin yb dah lupa kot maklumlah melayu memang mudah lupa terutama apabila melibatkan sarawak….

  5. educatedasap2010 Says:

    suka saya nak katakan disini, bahawasanya kerjaan negeri selangor dibawah pakatan rakyat banyak beri bantuan kepada rakyatnya, yang paling baik itu adalah dimana ada kematian keluarga tersebut akan dibayar oleh kerajaan sebanyak rm 2,500 sebagai meringankan beban keluarga terbabit bukan kah ini boleh membuka mata kita semua perbezaannya BN dan pakatan rakyat, nah contoh sekarang ini rakyat belaga yang menghadapi kemarau dan sg balui yang sudah kering kontang tanpa boleh dilalui oleh pengangkutan sungai, kenapa BN diam sekarang , dulu semasa kempen buka main lagi cakap hanya BN sahaja yang boleh, NAH LIHAT DAN PANDANG SIAPA YANG MENJAHANAM KAN RAKYAT sendiri, bukan kah itu BN yang megah dengan egonya. HARUS SEDAR LAH KITA RAKYAT BELAGA SUDAH DITIPU DAN DIKHIANATI OLEH PEMIMPIN KITA SENDIRI.

Comments are closed.


%d bloggers like this: