Sungai Rajang Semakin Kering:Cadangan pembenihan awan

KUCHING 21 Okt. – Kerajaan negeri dicadangkan supaya melakukan pembenihan awan dalam masa terdekat ini sekiranya paras air Sungai Rajang semakin menurun.

Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB), Roland Sagah Wee Inn berkata, penurunan paras air Sungai Rajang secara drastik kebelakangan ini amat membimbangkan kerana boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk setempat di sekitar Belaga hingga ke Bakun.

Menurutnya, operasi penakungan Empangan Hidroelektrik Bakun yang bermula baru-baru ini bukannya menjadi faktor paras air di situ menurun dengan mendadak, tetapi faktor cuaca panas yang berterusan juga turut mempengaruhi keadaan tersebut.

‘‘Pendekatan seumpama ini (operasi pembenihan awan) merupakan pilihan terakhir kita sekiranya keadaan semakin buruk akibat kemarau yang berterusan.

‘‘Sehubungan itu, kita (SRB) juga akan melakukan pemantauan paras air dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SRB di sini hari ini.

Pada masa sama, Sagah berharap dengan adanya usaha pembenihan awan dilakukan, maka risiko berlakunya penurunan paras air sungai yang amat rendah dapat dielakkan daripada berterusan.

Sementara itu, difahamkan sejak empangan Bakun mula menakung air pada 13 Oktober lalu, paras air Sungai Rajang mula menurun dengan mendadak dan bertambah teruk dengan cuaca panas yang berterusan.

Setakat ini, kerja-kerja penakungan air sedang dilaksanakan dan dijangka mengambil masa sehingga tujuh bulan.

Mengenai fenomena luar biasa himpunan balak dan kayu di Sungai Rajang pula, Sagah memberitahu, sejumlah RM2.7 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan operasi pembersihan.

‘‘Ketika ini keadaan di Sungai Rajang sudah kembali pulih seperti biasa selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Sumber :utusansarawak@utusan.com.my

One Response to “Sungai Rajang Semakin Kering:Cadangan pembenihan awan”

  1. lejo kayok Says:

    Inilah akibat kerakusan pihak tertentu yg tdk mmkrkan natijah buruk dpd pbinaan projek2 mega yg cuma mberikan keuntungan kpd kroni-kroni mereka shj. Lihat saja nanti pada plharaya akan datang, mcm2 umpanan dan projek2 yg cuma dtg pd ms plhanraya saja… sudahlah rkyat dah bosan dgn pmimpin 1, 2 ni

Comments are closed.


%d bloggers like this: