Alam Ria Cuti Sekolah

Rumah terasa begitu sunyi, kedua putera saya meninggalkan bandar Bintulu untuk pergi bercuti dengan Atuk mereka di sungai asap. Putera sulung saya yang memulakan cuti sekolahnya secara rasmi pada jumaat minggu lepas tidak sabar-sabar untuk pulang bercuti dan mandi di “Hungei Punan” yang tidak begitu jauh dari Uma Juman Ida Beran.

Semalam ketika Mummynya menghubungi melalui telefon, dia berceloteh panjang menceritakan aktiviti sepanjang hari, termasuklah bermandi-manda di “Hungei Punan”.

Rasa bersalah menusuk dalam dada, jumaat lepas ketika pulang dari sekolah, puteraku yang sulung ini menuntut janji supaya membawa dia “kuman bahek di Naha Jalay=berkelah”. Rupa-rupanya aku belum memaklumkan kepadanya bahawa tanah pusaka leluhurnya itu telah ditenggelami dek empangan Bakun.

Seperti mana biasa, berterus terang adalah cara berkomunikasi paling jujur. Saya katakan kepadanya,“DD minta maaf, sebab tempat yang DD janjikan itu telah tenggelam”.
Dia menjawab, “Tak apalah DD, kita tunggulah sampai airnya surut, cutikan baru saja bermula”.

“Tempat itu tak akan timbul lagi sayang, ia akan tenggelam buat selama-lamanya”. Untuk memudahkan penerangan , saya tunjukkan gambar proses impoundment Bakun yang dijalankan  lebih sebulan yang lalu. Air matanya mengalir deras, kemudian berlari memeluk erat Mummynya. Putera comelku yang seorang lagi baru sahaja berusia 2 tahun. Dia masih tak tahu apa-apa.

Idea untuk membawa keluarga bercuti dan kuman bahek di Naha Jalay tercetus ketika lawatan saya bersama rombongan media pada 24.8.2010 yang lalu. Ketika itu Bapak Batok dan penduduk Uma Balui Labuway Naha Jalay meminta supaya saya membawa keluarga untuk kuman bahek di sana. Pada masa itu kami belum tahu bila masanya penakungan empangan Bakun akan dilaksanakan.

Setelah pulang dari Naha Jalay saya memaklumkan anak-anak bahawa cuti sekolah hujung tahun akan digunakan untuk berkelah di Naha Jalay. Juga untuk membawa mereka buat kali pertama melihat penempatan kami yang telah ditinggalkan kerana berpindah untuk memberi laluan pembinaan Bakun.

Kesal dalam hati saya bertambah bila mengenangkan yang anak-anak saya tidak pernah melihat wilayah kekuasan bangsa mereka yang telah dipertahankan sejak ratusan tahun lamanya. Anak-anak saya dan anak-anak penduduk Ulu Balui yang dilahirkan selepas tahun 1998, tidak pernah menghirup udara segar lembah Balui, tidak pernah dapat membayangkan bagaimana aktiviti kuman bahek di tebing sungai yang dipenuhi ratusan spesis ikan dan hidupan sungai lainnya. Generasi muda ini hanya mampu menatap gambar yang tidak mampu berbicara.

Orang Ulu Balui Miskin?
Semua sedia maklum bahawa Orang Ulu Balui, rata-ratanya miskin. Ini dari kaca mata jurubank. Sebabnya Orang Ulu Balui tak banyak kertas yang bercapkan kepala Agong. Tetapi sebelum ekonomi berasaskan wang bermula, kita adalah bangsa terkaya sekali. Yakni sehingga ke hari ini pun kita masih tetap kaya. Cuba kita perhatikan perkara-perkara ini.

1.    Orang Kaya di bandar akan  mampu menternak 1 atau 2 ekor anjing sahaja. Tapi Orang Ulu Balui dahulunya mampu menternak berpuluh-puluh ekor anjing.

2.    Orang Kaya di bandar mempunyai kolam mandi atau aquarium yang ada beberapa spesis ikan dengan air dirawat. Tapi Orang Ulu Balui ada air sungai yang jernih dengan ribuan spesis ikan, ada air terjun, ada batu-batu naha dan pasir putih yang indah. Orang Ulu Balui yang dikatakan miskin  mampu makan ikan empurau yang harganya RM500 sekilo. Bayangkan.

3.    Orang Kaya di bandar ada taman kecil sebesar kaki persegi, diterangi lampu elektrik dan dibatasi pagar dihujungnya. Makala  Orang Ulu Balui yang miskin  ada taman yang diterangi dengan cahaya bulan dan kerlipan jutaan bintang dilangit. Taman ini tiada had dan penghujungnya.

4.    Orang Kaya di Bandar akan makan dengan membeli makanan di restaurant mewah, tapi Orang Ulu Balui memasak makanan mereka sendiri dengan kayu api. Kayu api yang digunakan oleh Orang Ulu Balui sama grednya dengan kayu yang dieksport ke Jepun dan negara-negara eropah. Bayangkan.

5.    Orang Kaya-kaya akan menikmati muzik melalui CD/DVD, dalam kereta ketika memandu ke tempat kerja. Tapi Orang Ulu Balui mendengar muzik dari alam semula jadi dan kicauwan burung-burung di hutan. Sambil berkerja mereka menyanyi dan menari. Mereka sihat dan panjang umur.

6.    Orang Kaya-kaya akan dilindungi dengan sistem penggera dan jeriji besi pagar rumah. Orang Ulu Balui dipagari oleh gunung-ganang dan hutan tebal. Jiran dan kawan-kawan menjadi penggera keselamatan.

7.    Orang kaya di bandar ada harta berbentuk rumah, kereta, kilang dan wang. Kesemuanya boleh habis dan musnah. Orang Ulu Balui ada tanah ratusan ribu hektar, ada balak yang setiap hari tumbuh segar dan membesar, ada air yang boleh dijual, ada sungai yang boleh menjana kuasa hidro. Kesemuanya kekal abadi.

8.    Sesungguhnya kekayaan kita berada di Hulu Balui, kembalilah kepadanya. Pertahankan tanah pusaka kita dengan bangkit merebutnya kembali. Setiap hari kita menjadi semakin miskin dengan tidak memerhatikan keindahan alam ciptaan TUHAN, tangan manusia sentiasa gatal untuk memusnahkan alam sekitar, tampa sedar dan insaf. Walau pun setelah disergah dengan kejadian log-jam baru-baru ini.

9.    Berpindah ke Sungai Asap bukan langkah memajukan Orang Ulu Balui. Bersiap sedialah berpindah semula ke Ulu Balui (The Land Of Kanaan).

10.    SELAMAT BERCUTI UNTUK ANAK-ANAK MALAYSIA, DAN SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN KEPADA MEREKA YANG SEDANG MENGHADAPINYA, SEMOGA BERJAYA.

2 Responses to “Alam Ria Cuti Sekolah”

  1. Tingang Says:

    Maju Belaga,Mesti Maji walaupun sunyi pada sebelah Tengah hari dan Malam

  2. lejo kayok Says:

    ya, saya setuju dgn rgkasan cerita drp belagakini. Generasi slpas 1998 memang akan melalui zaman yg btl2 bukan sstu alam khidupan kpg sptmana dilalui/dharungi di kpg asal(lepuun daleh) tdahulu yg kini cuma tgl nostalgia… anak2 tdk akan mglami sdiri bgmana seronoknya mandi manda di sungai yg jernih…. , bkelah di (karangan) yg cantik… kanak2 tdk pandai berenang sptmana zaman kita dahulu….
    Inikah yg dikatakan kmajuan slpas kita semua dpindahkan ke pnmpatan semula sg asap…. Ya siapa yg tdk rindu pd semua kenangan yg lampau d kpg lama,….. Mgikut rancangan saya sdiripun, pd pluang cuti hjg ini, dis mmg bniat nak pgi mlawat kmbali tmpat kpg asal sblum ianya bakun ditakungkan… Tak tfikir yg krjaan akan mnakungnya dlm thun ini… Mknanya impian utk sempat mlwati/mjenguk kmbli tmpt asal tdk kesampaian.. Tkilan di hati amat trasa.

Comments are closed.


%d bloggers like this: