Raja Balui Vs Raja Sarawak .

Sekumpulan wakil penduduk masyarakat orang Asal Sarawak berhimpun di hadapan Istana Kehakiman selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan mereka untuk mencabar kuasa kerajaan negeri Sarawak yang didakwa merampas tanah mereka.

Kumpulan berkenaan diketuai oleh ketua rumah panjang Uma Balui Lebuway. Mereka turut membawa sepanduk yang antaranya tertera slogan “hak tanah adat = hak ke atas kehidupan.”

Turut hadir ke perhimpunan itu ialah wakil daripada Uma Balui Lebuway, Uma Ukit, Uma Lesong, Uma Kulit dan Uma Bakah. Kumpulan dari suku masyarakat Kayan itu berhimpun selama beberapa minit di situ sambil bergambar.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 28 April untuk mendengar hujah dari peguam mereka berhubung permohonan itu.

Hujah berkenaan adalah berhubung Perkara 5(3) dan Perkara 5(4) Kanun Tanah Negeri Sarawak yang digunakan oleh kerajaan negeri bagi mengambil tanah adat (NCR) masyarakat orang Asal Sarawak itu.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusannya membenarkan permohonan yang dibuat oleh dua puak orang Asal – Bato Bagi dan Jalang Paran.

Kumpulan Orang Asal itu diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan Baru Bian bagi kes yang didengar secara bersama itu.

Kerajaan negeri Sarawak yang dinamakan sebagai responden dalam kes ini pula diwakili Datuk JC Fong dan Marjana Adenan.

Sulaiman dalam hujahnya membangkitkan bahawa peruntukan dalam kanun tanah itu bersifat ultra vires kepada Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hujah berkenaan merupakan elemen penting dalam kes ini kerana hak ke atas tanah NCR itu dianggap sebahagian kepada hak ke atas kehidupan.

Tanah berkenaan kini telah ditenggelamkan oleh limpahan air akibat pembinaan empangan hidroelektrik Bakun.-Sumber: Malaysiakini.


%d bloggers like this: